KADANGKALA, kata-kata itu lebih tajam berbanding sebilah pisau.

Itulah yang boleh digambarkan apabila rakan-rakan seperjuangan bintang Big Stage, Sandra Dianne, berkongsi mengenai Allahyarham yang pernah terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan netizen kepadanya.

Menurut peserta Big Stage, Farisha Iris, perkara tersebut dikongsikan oleh arwah semasa hayatnya.

"Sandra pernah berkongsi kepada kami mengenai netizen melemparkan kata-kata kasar kepadanya, sehingga membuatkan dia rasa tidak bersemangat," katanya.

Pelakon dan pengacara Elly Mazlien pula menasihatkan netizen agar berhati-hati ketika bercakap mengenai sesuatu perkara, terutamanya apabila di laman media sosial.

Lemparan kata-kata yang tidak baik, katanya, boleh memberikan kesan yang sangat mendalam kepada seseorang tidak dikenali.

BACA : 'Terima kasih jadi kawan baik Sandra' - Qody Rany sebak kenang detik bersama arwah

Menurut Elly atau lebih mesra dipanggil Kak Lina, sebagai seorang ibu, dia juga akan terkesan apabila ada orang luar melemparkan kata-kata yang tidak baik kepada anaknya.

"Kak Lina sangat simpati dengan mak dia, sebab Kak Lina ada anak, jadi sedikit sebanyak Kak Lina terpukul bila ada orang kata anak kita macam itu.

"Saya membaca banyak di media sosial, ada yang kata macam-macam, jadi Kak Lina nak pesan kepada orang luar, jangan kita menghukum, sebab kita pun tak tahu kita macam mana.

"Tolong jaga perasaan ibu bapa arwah dan kita kena hormati Allahyarham," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tribute #SandraDalamKenangan pada Ahad.

Pada masa sama, pengacara Alif Satar meminta semua pihak agar tidak menggunakan medium yang dimiliki sebagai alat melemparkan kebencian.

Sebaliknya, katanya, gunakannya untuk menyampaikan perkara yang positif, kerana dibimbangi apa yang diperkatakan mungkin meninggalkan impak buruk kepada seseorang individu, lebih-lebih lagi mereka yang tidak dikenali.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila masih ada lagi yang melemparkan kata-kata kesat kepada Allahyarham Sandra meskipun peserta tersebut baru sahaja pergi buat selamanya.